Saturday, October 4, 2008

Article from newspaper interview

BERDASARKAN satu kajian yang pernah dijalankan, wanita didapati menyifatkan kebahagiaan hidup berkeluarga sebagai satu kejayaan disamping kerjaya stabil. Jelas sekali, masa untuk bersama keluarga terutama anak menjadi keutamaan wanita walau setinggi mana jawatan disandang.
Justeru, tidak hairanlah ramai wanita mula mempertimbangkan untuk bekerja di rumah dan dalam masa yang sama dapat memainkan peranan sebagai ibu sepenuh masa. Sememangnya, inilah yang sentiasa bermain di minda wanita bekerja iaitu memiliki pendapatan sendiri, tetapi tidak perlu mengorbankan terlalu banyak masa untuk bersama anak dan keluarga.

Bagaimanapun, apakah konsep bekerja di rumah yang semakin popular sejak sedekad lalu ini cukup ideal untuk semua wanita? Bekerja di rumah memang kedengarannya amat menarik dan mudah sekali. Maklum saja, anda adalah bos kepada diri sendiri!
Persoalannya, apakah semua wanita mampu melakukan dua tugas dalam satu masa? Hakikatnya bekerja di rumah bukanlah satu tugas mudah. Bijak menguruskan masa adalah faktor utama apabila bekerja di rumah. Anda juga perlu mempunyai disiplin tinggi dan tidak berkompromi dalam memisahkan waktu bekerja dengan menguruskan keluarga.

Begitu pun, tiada maknanya jika hanya diri anda saja berada di rumah, tetapi asyik sibuk bekerja hingga tiada masa untuk bersama anak, sedangkan matlamat sebenar untuk mempunyai masa bersama si kecil.
Selepas memiliki tiga cahaya mata, Kaiyisah Yeoh Abdullah merasakan sudah sampai masanya untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada mereka. Sebelum itu, hampir empat tahun beliau berusaha meyakinkan suami untuk meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan dan seterusnya bekerja di rumah. Restu suami dan keluarga amat penting bagi Kaiyisah sebagai sokongan moral untuk bekerja sendiri di rumah.

“Selepas berhenti, saya tidak terus bekerja di rumah sebaliknya membuat penyelidikan mengenai bidang yang sesuai dengan diri. Paling penting, memastikan ada sokongan cukup dari segi kewangan. Syukurlah sejak dulu, saya mengamalkan menyimpan sedikit daripada wang gaji untuk digunakan apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Bagi Kaiyisah yang menjalankan pelbagai perniagaan di rumah, sebaiknya jika ingin bekerja sendiri, elakkan menggunakan modal yang terlalu banyak. Beliau sendiri memilih bidang insuran, mengakui hanya mengeluarkan RM60 sebagai modal untuk menjalani ujian sebagai wakil insuran.
“Apa yang penting, seseorang itu perlu memasuki bidang yang selari dengan minat dan kemahiran masing-masing. Kalau boleh berbincanglah dengan suami dan keluarga. Sokongan mereka penting kerana corak kerja anda yang kini sudah berbeza dengan dulu. Anak juga perlu faham bila anda sedang membuat kerja dan bila anda berperanan sebagai ibu.

“Anda perlu bersikap adil terhadap anak dengan membahagikan masa bekerja dengan lebih bijak. Misalnya, anda boleh mula bekerja apabila anak sedang tidur atau pada awal pagi ketika anak ke sekolah. Pastikan apakah kepentingan waktu itu. Jika anak perlukan perhatian, utamakan daripada melakukan kerja lain,” katanya.
Beliau berkata, saudara terdekat juga perlu tahu bahawa anda kini sedang bekerja di rumah agar mereka tidak mengganggu waktu bekerja anda. Bantuan pembantu rumah juga masih diperlukan, malah meringankan beban bagi mereka yang tidak mampu melakukan dua tugas dalam satu masa.
Sebagai strategi awal, Kaiyisah turut menasihatkan mereka yang sedang bercadang untuk bekerja di rumah agar mula membina jaringan kerja sebelum berhenti kerja. Mengenali ramai orang adalah satu faktor penting sebagai strategi pemasaran.

“Jangan tunggu sehingga berhenti kerja baru hendak tercari-cari pelanggan. Hubungan baik dengan orang sekeliling mewujudkan peluang luas memasarkan barangan mahupun perkhidmatan yang anda tawarkan. Pada masa inilah kena pandai gunakan peluang yang ada seperti menghadiri kursus keusahawanan dan kemahiran lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan kemudian hari,” katanya.
Selain menghantar surat pemberitahuan mengenai perkhidmatan yang ditawarkannya, Kaiyisah juga menghubungi bakal pelanggan secara panggilan telefon yang membolehkannya mendapat sekurang-kurangnya dua pelanggan sehari.

“Dalam sehari, saya membuat tidak kurang 20 panggilan telefon untuk mencari pelanggan. Bagi menjimatkan bil, saya ambil pakej khas daripada Telekom. Saya juga menggunakan internet untuk mengiklankan perkhidmatan yang ditawarkan dengan bayaran sebanyak RM400 untuk tempoh enam bulan.
“Apa yang penting dalam perniagaan ialah mesti peramah dan berani mendekati orang ramai ketika menghadiri seminar dan sebagainya,” katanya.
Sumber: Berita Harian 16 Mac 2007

However, after sometime, it is good to have your own office away from home. You will need some of your own time to focus on what needs to be done. At the same time, if your customers do want to come and pay you a visit, you will avoid some embarrasing moments of having to apologise for your children's mischiefs. (children will always be themselves, no matter how much warning they get!) Times change and we need to make some changes as well. Some we keep, some we discard. Move forward all the time. Look back only to learn from the past.

No comments: